Thursday, September 20, 2018

Kenangan UPSR 2017

Tahun lepas, 2017 Luqman UPSR. Menjelang nak exam, saya belikan Vitamin C untuknya dan pastikan dia minum madu dan makan kurma setiap pagi. Ikhtiar kami semoga sihat bila exam nanti.
Sebelum Subuh, Luqman akan bangun. dan solat jemaah Subuh dengan abahnya di surau. Lengkap berbaju sekolah. Balik rumah je, pass baton kat ibu yang akan menghantarnya ke sekolah. Target untuk sampai sekolah sebelum pukul 7.
Kami akan borak-borak dalam kereta untuk tenangkan hati. Then, breakfast kat kedai area sekolah Luqman. Ibu tak breakfast sekali sebab ibu puasa sepanjang Luqman exam.
Di kedai breakfast, saya akan beli beberapa bungkus nasi lemak untuk diberi kepada pekerja construction warga asing di tepi sekolah (tips dari seseorang berkenaan sedekah pagi). Sometimes, Luqman juga nak belikan untuk pakcik security.
Pukul 7.30 akan ada solat hajat di sekolah. Setiap hari sebelum anak-anak naik ke kelas untuk exam. Anak-anak, guru-guru dan ibu bapa akan solat sekali. Kemudian akan ada tazkirah ringkas dari cikgu dan sessi berdoa.
Sebelum Luqman naik ke kelas dalam pukul 8, Raziq akan sampai dengan abahnya. Singgah sebelum ke sekolahnya. Raziq akan peluk Luqman dan cakap "buat elok-elok ya". Dia akan tunggu Luqman masuk kelas, berdiri pegang tiang bendera di bawah sambil mendongak melambai abang. "Good Luck Luqman. Elok-elok".
Then, bermulalah sessi mak-mak mula baca Quran dan solat sunat. Biasanya mak-mak berpuasa sepanjang exam. Setiap mak-mak ambik tempat masing-masing semasa anak menjawab exam heee... Sepanjang minggu UPSR, just darjah 6 yang ada kerana anak-anak lain dicutikan.
Suasana senyap dengan mak-mak yang lain. Takde berborak, takde membawang. Bila dekat je anak nak keluar, masing-masing akan pandang each other. "Diorang nak keluar dah". Dan kami keluar sambut anak-anak. Senyap sunyi tadi bertukar menjadi kecoh dan meriah.
Kadang-kadang bukan Luqman berlari kat ibu, yang berlari ke ibu tu nanti anak-anak kawan-kawan. "Aunty, tadi saya jawab macam ni. Betul tak?", 'Aunty, tadi saya dah jawab betul lepas tu tukar jawapan, arghhhh". Sebab mak-mak dah jadi geng, jadi anak-anak pun dah rapat dengan mak kawan-kawan masing-masing.
Bila menyambut anak-anak keluar exam, expression muka memang berbeza bergantung kepada paper. Paper Maths last year menyaksikan anak-anak ada yang mengeluarkan air mata. Tapi lepas paper Sains berlari riang.
In between exam paper akan ada mak-mak yang bawakan makanan roti dan coklat untuk anak-anak share sesama sendiri selain makanan kantin. Seronok tengok anak-anak ni.
Biasanya budak perempuan akan lebih serius tapi budak lelaki akan kecoh sebelum dan selepas exam.
Diberikan peluang untuk bersama anak semasa exam bersama mak mak yang lain adalah something yang saya sangat treasure. Ramai yang busy dan tak dapat cuti untuk bersama anak-anak. Kami yang di sekolah akan update gambar-gambar anak-anak dan apa emosi anak-anak selepas exam kepada ibu-ibu yang lain.
Sekarang dah tinggal kenangan semuanya. Anak-anak dah meneruskan persekolah di tempat tempat lain. Kebanyakan tak lagi bersama. Mak-mak juga dah kurang berjumpa. Kalau dulu hampir setiap hari. Ni ibu tengah carik geng baru untuk kakak Maira punya time nanti heee..
Semua yang berlaku pada September 2017 akan kekal di ingatan. All the best untuk anak-anak UPSR next week. All the best juga untuk ibu bapanya.







Wednesday, September 12, 2018

Happy Birthday Raziq

12 September 2018.
12 tahun lepas pada tarikh ini, Raziq dilahirkan. Pertama kali ibu melihat Raziq, ibu sedar yang kamu adalah istimewa. Airmata ibu mengalir laju. Ibu minta maaf kerana melahirkan kamu. Ibu tak yakin dunia akan melayan Raziq dengan baik. Ibu tak mampu memandang Raziq lama-lama semasa baby. Ibu terlalu sedih.
Selepas beberapa lama di NICU, HUKM, kita pulang kerumah. Kalau ibu lain membawa anak pulang dengan gembira, ibu pula dengan air mata. Ibu takut nak pegang Raziq kerana saiz kepala Raziq besar dan badan Raziq yang kecil. Ibu teralu takut akan menyakiti kamu.
Sejak itu, HUKM seakan rumah kedua kita. Banyaknya appointment kita, kan. Banyak test yang dibuat dan darah yang diambil untuk mengesahkan pelbagai diagnose.
Tak cukup dengan appointment doctor, kita ke sana sini untuk rawatanmu. Ingat tak kita ke Behrang pukul 3,4 pagi?. Ada masanya kalau Abah tak dapat pergi bersama, kita pergi berempat dengan Abang Luqman dan bibik. Ibu yang sangat penakut, seakan tak terpikir apa-apa bila lalu di tepi kebun getah dan semak samun pagi-pagi buta. Seakan semua ketakutan di bawa pergi demi untuk melihat Raziq sihat.
Pada saat kamu mula berjalan pada usia tiga tahun setengah, Doktor seakan tidak percaya kerana katanya pengalamannya mengatakan sebaliknya.
Raziq, ingat tak pertama kali Raziq memanggil “Ibu”? Teacher Suntari minta ibu masuk ke kelas Raziq. Raziq berdiri di hadapan ibu. Hati Ibu berdebar. Raziq memanggil “Ibu” pertama kali pada usia 7 tahun. Ibu peluk Raziq dan air mata gugur lagi.
Ibu beritahu Abah, ibu akan hantar Raziq ke terapi yang terbaik kerana ibu nak Raziq menjadi normal seperti anak lain. Kita ke terapi sana sini bersama Abang Luqman sehinggakan dalam seminggu penuh dengan jadual terapi dan intervensi awal di beberapa tempat berlainan.
Abah menyokong apa yang ibu buat untuk Raziq. Cuma, Abah cakap ibu terlalu memaksa diri. Dan juga ibu terlalu memaksa Raziq. Kesian Raziq terlalu letih. Tapi Ibu mahukan yang terbaik walaupun itu bermakna ibu terpaksa tidur di dalam kereta di stesen minyak atau di tepi jalan on the way ke tempat kerja atau terapi kerana terlalu letih.
Raziq ingat tak first time kita jumpa Nazif di interview sekolah abang Luqman pada 2011?. Sekolah Rendah Al Amin. Itulah titik tolak perubahan kepada ibu. Nazif anak down sindrom yang sangat baik. Kita berjumpa dengan Uncle Khalil dan Aunty Nurli yang sangat hebat membesarkan Nazif.
Sejak itu ibu tak lagi mengimpikan kamu untuk menjadi seorang anak normal. Ibu mula menerima kamu seorang yang istimewa. Ibu mengimpikan Raziq menjadi baik dan hebat seperti Nazif. Dan Ibu ingin menjadi hebat seperti Aunty Nurli.
Sejak itu ibu mula menerima hakikat. Ibu gembira berjumpa dengan ibu-ibu lain yang mempunyai anak- istimewa seperti kamu. Ibu-ibu ini sangat hebat. Anak-anak mereka juga hebat. Kami berbincang, kami sedih bersama, kami ketawa bersama.
Ibu tak mahu Raziq letih lagi. Ibu mahu Raziq happy. Sejak itu ibu mula mencari ilmu. Ibu belajar lebih menghargai Raziq, diri sendiri dan keluarga kita.
Dulu ibu selalu berdoa kalau ibu “pergi”, biarlah kita bersama. Kerana ibu tak yakin ada yang boleh menjaga Raziq.Tapi sekarang ibu yakin Allah menjagamu lebih baik dari ibu kerana selama ini tak mungkin ibu mampu membuat apa-apa untuk Raziq kalau bukan keranaNya.
Abang Luqman juga menangis hari terakhir tadika.Katanya "Lepas I pergi sekolah baru, nanti I tak boleh jaga Raziq lagi".
Bila atuk meninggal masa raziq 8 tahun, orang yang ibu anggap paling sayangkan Raziq di dunia ni juga meninggalkan kita. Ingat tak Raziq tak boleh tidur berbulan dan terjaga malam kerana rindukan atuk. Tapi Raziq tak mampu bercerita. Hanya menangis dan sebut "atuk".
Dan ibu makin sedar yang ibu tak boleh mengharapkan diri sendiri atau sesiapa untuk menjaga Raziq selamanya. Raziq perlu belajar menjaga diri sendiri.
Perjalanan membesarkan Raziq sehingga ke hari ini penuh warna warni. Ibu minta maaf kerana masih belum menjadi ibu yang hebat untuk Raziq. Banyak lagi yang kita mesti lakukan bersama.
Terima kasih Raziq kerana menyedarkan ibu akan banyak perkara dalam hidup ini. Raziq menganggap setiap orang itu baik walaupun mereka mengejek dan melayan sebaliknya. Raziq akan tersenyum riang walaupun dengan pemberian kecil. Tiada komplen. Hanya tersenyum riang.
Raziq 12 tahun hari ni. Dah 12 tahun kita bersama. Ibu minta maaf atas segala kesilapan ibu dalam membesarkan Raziq. Ibu masih berusaha. Ibu berdoa Raziq akan menjadi insan hebat yang akan memberi manfaat kepada orang lain suatu hari nanti.
Ibu, Abah, Abang Luqman, Humaira, Muhammad dan ahli keluarga kita yang lain akan sentiasa sayangkan Raziq. Semoga Raziq dilindungi Allah selalu.
Selamat Hari Lahir Raziq sayang.
Love,
Ibu.